Friday, March 5, 2010

MASALAH SOSIAL DI KALANGAN MAHASISWA TEMPATAN

Pandangan Tentang Gejala Sosial Melibatkan MAHASISWA..!!


Islam telah mensyariatkan bahawa lelaki dan wanita wajib diasingkan bermula dari umur sepuluh tahun lagi, lelaki dan wanita yang bersaudara pula perlu dipisahkan dari tempat tidur mereka. Manakala bagi lelaki dan wanita yang bukan bersaudara pula perlu ditegah dari bergaul setelah mereka mencapai akil baligh.

Mengapa Islam mensyariatkan sedemikian rupa? Apakah rahsia disebaliknya? Sesungguhnya setiap apa yang Allah S.W.T syariatkan kepada umat manusia bukanlah suatu yang sia-sia bahkan disebaliknya penuh dengan pelbagai hikmah dan kebaikan yang tidak dapat diketahui melainkan dengan penafsiran serta penelitian yang tinggi. Pelbagai perkara buruk boleh berlaku seandainya kita tidak menjaga batasan di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita ini antaranya ia akan mengakibatkan pelbagai masalah sosial sebagaimana yang ada disebut di atas bermula dengan zina, kemudian membawa kepada hamil sebelum nikah dan akhirnya timbullah kes pembuangan bayi yang tidak berdosa.

Apa yang menyedihkan ialah masalah sebegini sebenarnya telah tersebar di kalangan para remaja serta muda-mudi di negara ini. Lebih mengejutkan lagi ianya turut melanda mahasiswa dan mahasiswi di IPT yang mana mereka ini adalah dikategorikan sebagai intelektual yang merupakan pelapis negara yang bakal menerajui kepimpinan sekaligus diharapkan dapat membangunkan dan memajukan negara ini pada suatu masa akan datang.

Masalah sosial merupakan gejala abnormal atau tingkah laku yang tidak bermoral dan bersifat merosakkan. Ini bermaksud semua aktiviti yang membawa kepada keruntuhan akhlak perlu dihindari kerana boleh merosakkan peribadi dan nilai-nilai baik dalam diri seseorang individu. Dalam konteks kehidupan mahasiswa, antara masalah yang begitu ketara dihadapi oleh mereka ialah kegagalan menguruskan perasaan dan emosi dengan betul dan berkesan. Inilah yang membawa kepada tindakan-tindakan seperti keinginan berdua-duaan tanpa had waktu, menghabiskan masa dengan berbual di telefon, internet atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (sms), keluar bersama sehingga lewat malam malah ada yang pergi ke disko atau pub-pub. Perlakuan di atas sebenarnya adalah bibit-bibit permulaan yang boleh membawa kepada perlakuan yang lebih sumbang dan tidak bermoral.

Terdapat mahasiswa universiti atau kolej yang terlibat dalam perbuatan zina, kehamilan luar nikah, seterusnya pengguguran bayi sehingga menjejaskan pelajaran yang sepatutnya diutamakan. Malangnya ada antara mahasiswa yang terlibat dalam gejala tidak bermoral ini terdiri dari pelajar pintar yang menjadi harapan semua pihak terutama ibu bapa dan keluarga. Perbuatan yang dilakukan tidak hanya mencemar maruah diri tetapi turut mencemarkan nama ibu bapa di mata masyarakat. Insiden yang berlaku ini sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa mereka masih tidak mempunyai prinsip yang teguh dan benteng diri yang kukuh untuk berdepan dengan cabaran dunia remaja.

Pendedahan luar juga menjadi faktor timbulnya gejala ini. Kedatangan para pelancong dari luar negara dengan membawa budaya mereka akan menyebabkan ada dikalangan mahasiswa terikut dengan budaya mereka. Ini kerana dengan adanya nilai yang berinteraksi dengan tindakan yang berterusan akan menyebabkan tabiat. “Pengetahuan dan penghayatan agama yang kurang juga dilihat menjadi salah satu faktor utama berkembangnya masalah sosial di kalangan mahasiswa. Jika ajaran-ajaran agama tidak dihayati dan dipraktikkan terutama dalam soal pergaulan, pasti mereka tidak mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan apa jua cabaran khususnya yang berkaitan dengan nafsu, emosi, perasaan dan hati.

Agama Islam meletakkan beberapa prinsip, panduan, larangan dan batasan tertentu dalam soal pergaulan membabitkan lelaki dan wanita bukan mahram. Kegagalan mempraktikkannya serta sikap tidak mengendahkan ajaran agama menyebabkan ramai yang terlanjur melakukan maksiat dan dosa.

Media Massa juga turut mempengaruhi gaya hidup mahasiswa kini. Bermacam-macam program hiburan telah disiarkan dan telah menjadi program tetap dalam satu-satu syarikat televisyen tersebut. Antara yang popular kini ialah program “realiti tv” yang memaparkan kehidupan seharian individu yang sedang dalam proses untuk menjadi artis, dengan percampuran antara lelaki dan wanita di dalam satu tempat tinggal serta menjalani pelbagai latihan kesenian bersama-sama. Ini semua mampu mempengaruhi golongan remaja terutamanya mahasiswa dalam menjalani kehidupan mereka sehari-hari.

Mereka akan mudah terikut-ikut dengan gaya hidup yang dipamerkan. Banyak budaya dari Barat telah berjaya menyelinap masuk melalui media massa. Selain daripada rancangan berbentuk “realiti TV”, sejak dahulu lagi telah banyak siaran-siaran televisyen yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat Malaysia telah disiarkan. Adegan berpelukan, berciuman dan pendedahan aurat sememangnya telah menjadi menu khas setiap rancangan televisyen. Apabila siaran-siaran sebegini ditonton oleh anak-anak yang meningkat remaja maka ia boleh menyebabkan mereka banyak berkhayal dan timbul rasa ingin tahu yang sangat tinggi. Inilah yang menyebakan muda-mudi semakin berani untuk mencuba melakukan perkara-perkara terkutuk tanpa segan silu apatah lagi memikirkan kemurkaan Allah S.W.T yang menanti mereka.

Semua yang telah diperkatakan tadi adalah merupakan faktor luaran yang sedikit sebanyak menjadi punca keruntuhan moral dikalangan mahasiswa. Namun begitu, dengan pengamalan dasar percampuran jantina di kolej-kolej kediaman atau penginapan mahasiswa di pusat pengajian tinggi juga dilihat sebagai faktor yang menyokong perkembangan masalah sosial di kalangan mahasiswa. Apabila tinggal di tempat yang sama, ini memudahkan mereka bersama ke sana ke mari tidak kira siang atau malam. Senario di kampus memaparkan bagaimana mahasiswa masih boleh membonceng motosikal pasangan masing-masing dan keluar bersama walaupun sudah lewat malam dan meniti waktu pagi.

Peranan semua pihak sememangnya diperlukan dalam mengurangkan seterusnya membendung gejala yang tidak sihat ini dari terus merebak ke dalam saraf-saraf sosial mahasiswa pada masa akan datang.

"MAHASISWA INTELEK MENJANA KECEMERLANGAN UMMAH"

Renung-renungkanlah....

No comments:

Post a Comment